KUALA LUMPUR: Bagi pakar keselamatan siber, Fazli Azran, ugutan yang dibuat kumpulan yang menggelarkan diri mereka Anonymous Malaysia perlu dipandang serius. 

Menerusi laman Facebook OWASP Malaysia, Fazli yang juga ketua Open Application Web Security Project (OWASP) Malaysia Chapter menasihati agar pentadbir sistem, rangkaian dan keselamatan bertindak segera.  Kemas kini sistem perlu dilakukan segera untuk mengelak laman web digodam.

 

Kumpulan hacktivis Anonymous Malaysia menerusi sebuah video mengumumkan perang siber terhadap kerajaan Malaysia semalam.

Menurut kenyataan dalam video tersebut, Anonymous mengancam untuk melancarkan serangan pada 29 dan 30 Ogos, mulai jam enam petang hingga 11 malam.

Laman yang menggunakan gov.my dan edu.my menjadi sasaran bukan kerana sistem pertahanannya lemah tetapi merupakan kepentingan kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara yang dikatakan menjadi sasaran utama ancaman Anonymous terbaharu ini.

Kumpulan tersebut mendesak Najib untuk meletak jawatan jika mahu mengelak serangan siber ke atas Malaysia.

Anonymous mendakwa serangan dirancang itu bakal menjadi serangan yang melumpuhkan rangkaian internet terbesar di dunia.

Laman web yang menjadi sasaran utama adalah laman milik 1MDB, NajibRazak.com, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis diRaja Malaysia(PDRM).

Anonymous turut mengancam untuk melancarkan serangan terhadap 150 laman web lain dalam tempoh 48 jam jika permintaan mereka ditolak.

Ini bukan kali pertama Anonymous mengancam melakukan serangan siber terhadap laman web di Malaysia.

Menurut kajian yang dilakukan OWASP, terdapat banyak serangan penggodam yang tidak dikenali terhadap laman web di Malaysia setiap bulan.

 
Data dikongsi OWASP Malaysia.

 

Hebahan KPM

Go to top